SILAT LIAN BUAH PUKUL GAYANG LIMA BANI JAWI
Jangan suka terkinja kinja...Apa lagi dijual dijaja...Jangan dikeji usah dipuja...Sikit cakap banyakkan kerja...

Berburu ke padang datar...Dapat rusa belang kaki...Berguru kepalang ajar...Ibarat bunga kembang tak jadi

Kalau Tuan pergi ke Tanjung...Carikan saya ketam ragi...Hidup kita jangan sombong...Suatu hari di telan bumi

Tuesday, February 24, 2009

Permainan Senjata dalam Lian

2 minggu sudah saya kerahkan anak2 buah saya untuk mengeluarkan kayu tongkat dan selengan untuk membiasakan penggunaan senjata dalam lian buah pukul. Pisau tiruan juga digunakan. Kaedah penggunaan senjata amat sinonim dengan lian. Yang membezakan keberkesanannya ialah kemahiran kita memegang dan menggunakan senjata itu sendiri dan jangka sasaran yang hendak ditujukan senjata itu.

Mula mula kayu selengan digunakan . Bila kita berdiri dengan selengan ditangan mengadap musuh, pukullah kearah sasaran bila timbul niat. Jangan sekali kali berayak atau menggerakkan anggota badan yang lain sebelum senjata itu sendiri digerakkan. Itu bermalam namanya. Contohnya, bila kita hendak memukul kearah musuh, kita akan gerakkan bahu menandakan kita hendak mengangkat tangan yang memegang selengan itu sebelum memukul. Dalam permainan guru, pada masa itulah juga gerak kita dimakan dengan pukulan sepantas kilat. Lagi satu contoh, mimik muka kita akan berubah bila ada perasaan marah atau keinginan untuk memukul. Sudah tentulah ahli dalam buah pukul akan pukul dulu. Mengapa buang masa menangkis dan mengelak.

Dalam lian buah pukul kita bergayang dan gelek. Dengan senjata, dalam bergayang dan gelek itulah senjata diarahkan kesasaran. Penggunaan senjata kesannya parah. Bezanya antara bertangan kosong dan bersenjata adalah juga pada jangka jauh dekatnya sasaran pukul dari senjata itu. Pun begitu, latihan akan membawa kepada kesempurnaan. Biasakan memegang dan memahirkan penggunaan senjata itu dan aplikasikan dalam lian. Senjata apa yang anda gunakan? Tongkat, parang, tekpi, selengan, kerambit, pisau belati, keris dll? Semua ini boleh diadaptasikan dalam lian, Insyaallah.

Dalam zaman yang serba mencabar ini kita memang kena cepat bertindak dalam situasi yang genting. Peras ugut, rogol, ragut dll adalah fenomena lumrah. Selalunya, aura orang yang tidak ada kemahiran beladiri terserlah untuk dijadikan mangsa. Ada benarnya juga bila guru guru tua berkata lagi banyak ilmu beladiri didada, nak bertumbuk sekali pun susah. Apa taknya, bila Allah dengan kita, aura makrifatNya memang tiada tandingan. Namun begitu, kita pasti diuji dalam pelbagai situasi. Kalau nak kena, kena juga.

Mahirkan lian dengan sebaiknya. Tari lah pergerakkan silat pulut dengan lian yang ada sesuai dengan jiwa kita yang beriman dan bertaqwa. Hendak lembut kita lembutkan, hendak keras kita keraskan. Namun dalam indah gemalai tari silat yang dipersembahkan, kita tahu ada 1001 macam rahsia dan kaedah pukul yang terselit didalamnya.

Belajar tari silat dulu kemudian buah pukul, atau belajar buah pukul kemudian menari silat dengannya?