SILAT LIAN BUAH PUKUL GAYANG LIMA BANI JAWI
Jangan suka terkinja kinja...Apa lagi dijual dijaja...Jangan dikeji usah dipuja...Sikit cakap banyakkan kerja...

Berburu ke padang datar...Dapat rusa belang kaki...Berguru kepalang ajar...Ibarat bunga kembang tak jadi

Kalau Tuan pergi ke Tanjung...Carikan saya ketam ragi...Hidup kita jangan sombong...Suatu hari di telan bumi

Monday, May 21, 2012

Penuntut dari Itali

Dari 7 hingga 11hb Mei 2012, Matteo Lazzari dari Milan, Itali telah mengambil kursus intensif Gayang Lima selama 15 jam. Dia adalah salah seorang ahli Bono Academy disana yang giat mengamalkan pelbagai jenis seni beladiri seperti Kuntao, Silat Serak, Jeet Kune Do dan juga Kali. Dalam akademi itu pula mereka ada sekumpulan pengamal yang berlatih khusus untuk silat dan buah pukul sahaja.

Pada pertemuan pertama tiga hari sebelum memulakan kursus, kami berbincang tentang silat dan dia menunjukkan minat yang amat mendalam kepada permainan buah pukul. Sebelum datang ke Malaysia, dia berhasrat untuk belajar di negara jiran. Gurunya di sana mengesyorkan agar dia datang ke sini dan belajar Gayang Lima. Mengikut katanya, Gayang Lima menjadi perhatian dan menarik minat ramai pengamal beladiri di luar negara (Alhamdulillah). Selalunya mereka akan mainkan permainan Gayang Lima di Youtube dan cuba untuk aplikasi gaya buah pukulnya sesama mereka.

Bila sampai di Malaysia dan dapat berinteraksi dan bermain dengan pengamal pengamal Gayang Lima yang dia tonton dalam Youtube, dia zahirkan rasa teruja seolah tak percaya. Dia juga mendapat sambutan mesra serta galakkan yang baik dari rakan rakan seperguruan di sini. Ada juga seorang rakan mengusiknya, "Matteo, you know what your name means in Malay? It means mati o". Yang lain lain pun gelak lah. Bila saya terangkan pada dia keesokan harinya baru dia faham dan kata patutla diaorang ketawa semalam. Dia seorang yang bersikap terbuka dan sangat menghormati ilmu serta guru. Maaf cakap, orang orang kita sendiri tak ramai macam tu.

Pada akhir sesi kursus, Matteo menyatakan rasa terharu serta sedih untuk meninggalkan gelanggang. Katanya, "This is the best experience of my life". Kalau kita amati apa yang tersirat pada kata katanya, dia memang seorang pengamal seni beladiri yang amat komited dan dahagakan ilmu. Sesuai dengan apa yang ditulis dan dituturkan oleh Pendita Profesor Dr Azlan Ghanie kepada dia, "semoga anda temui yang Haq"...Ameeen.