SILAT LIAN BUAH PUKUL GAYANG LIMA BANI JAWI
Jangan suka terkinja kinja...Apa lagi dijual dijaja...Jangan dikeji usah dipuja...Sikit cakap banyakkan kerja...

Berburu ke padang datar...Dapat rusa belang kaki...Berguru kepalang ajar...Ibarat bunga kembang tak jadi

Kalau Tuan pergi ke Tanjung...Carikan saya ketam ragi...Hidup kita jangan sombong...Suatu hari di telan bumi

Wednesday, September 29, 2010

Menyusuri darah diraja Awang Daik:Satu Kupasan

Sewaktu melihat gambar-gambar yang ada dalam PC, saya mula mengelamun apabila terpandang gambar-gambar Almarhum Guru Awang Daik, pioneer di dalam permainan Buah Pukul. Saya bertafakur sebentar dan melihat dari pandangan bathin,melihat kejayaan seorang tokoh seperti almarhum yang berjaya membawa permainan Buah Pukul ini tersebar masyhur dengan megah di rantau kita. Mana-mana perguruan buah pukul yang mendakwa permainan beliau adalah benar, pasti akan menyebut susur galur warisan permainan ini sehingga ke Almarhum Awang Daik ataupun Pak Long Md Yassin. Khusus didalam Gayang Lima Aliran Pak Atan Air Batu, susur galur ini akan sampai kepada Almarhum Awang daik melalui Pak Teh Md Yassin,yang jika dikira dari sudut generasi, maka Pak Atan merupakan pewaris generasi ke dua selepas Almarhum Awang Daik. Ini secara pasti meletakkan Aliran Pak Atan sebagai aliran yang masih mengekalkan permainan yang sebenar dan tertib,tanpa perubahan yang besar. bertuah rasanya andai dapat bertemu dengan tokoh besar ini yang sememangnya masyhur di Tanah Melayu ini.


Gambar-gambar yang dipaparkan ini saya peroleh sewaktu Kumpulan Gayang Lima Kuala Lumpur membuat lawatan muhibbah di Nilai pada 3 bulan yang lalu, menemui keturunan asal Awang Daik yang bernama Haiqal atau akil. Saya mendapat maklumat mengenai beliau apabila beliau menghubungi saya berkaitan sejarah permainan buah pukul. Terlangsung berhubung, terpaut ukhuwwah, kami merancang untuk bertemu beliau di Nilai. Salasilah beliau : Aqil bin Abu Kassim bin Muhammad bin Mejar Aqil bin Awang Daik bin Ali. Beliau merupakan keturunan bersusur galur dari Mejar Aqil, Salah seorang anakanda Awang Daik yang berjawatan tinggi Dalam Johor Military Forces. Merupakan salah seorang pengkaji sejarah terutama berkaitan susur galur keturunan beliau.Beliau juga mempunyai susur galur keturunan diraja selangor. Secara khusus,apabila dilihat dari jurai keturunan awang Daik,saya meyakini beliau sangat kuat dengan keturunan raja-raja bugis, apalagi saya meyakini jua bahawa beliau bersusur galur Yamtuan Muda Riau yang titisan darahnya bertemu dengan Daeing Merewah, salah seorang dari Daeing 5 Bersaudara.,Ingin saya menceritakan Nukil riwayat Almarhum awang Daik secara ringkas yang bersumber dari kajian saya sendiri, maklumat dari waris keluarga almarhum awang Daik dan orang-orang lama di Mersing.





Awang Bin Ali @ Awang Daik dilahirkan pada tahun 1839 di Daik, Riau Lingga. Adalah dipercayai nama sebenar beliau tidak diketahui, namun En Aqil sedang berusaha untuk mencari nama sebenar Awang Daik yang mana ia akan membantu untuk mencari susur galur sebenar keturunan Awang daik. Ini sangat penting ,memandangkan terdapat dua versi keturunan Awang Daik ini.

Pertamanya: Awang Daik didakwa bernama Sheikh Mohd Said bin Sheikh Ali merupakan keturunan Cina Islam Dari Kwantung(Guandong China) dan bapanya menetap di Daik, ibukota Lingga sejak tahun 1800 lagi. Beliau menjadi Anak angkat kepada Penghulu daik dan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah(1835-1857), sultan Kerajaan Riau-Lingga yang disisihkan oleh Belanda sewaktu di Singapura pada 1857(Baginda berada di singapura sehingga tahun 1861 dan mangkat di Pekan Pahang pada 1864).

Versi Kedua: Almarhum Awang Daik merupakan kerabat diraja Bugis yang bertakhta di Riau iaitu keturunan Yamtuan Muda cicit Raja Haji Asy-Syahid Marhum Teluk Ketapang, dimana dipercayai beliau merupakan salah seorang dari anakanda Paduka Sri Raja 'Ali 'Ala ud-din Shah ibni al-Marhum Sultan Ja'afar 'Ala ud-din Shah [Raja 'Ali II], Yamtuan Muda Riau ke 8 (1844 - 1857). Secara jelas, Sri Sultan Raja ali mempunyai 7 putera dan 7 puteri. Antara senarai anakanda baginda yang dipercayai sebagai Almarhum Awang Daik adalah :
1. Y.M. Raja Muhammad Said ibni Sultan 'Ali 'Ala ud-din Ri'ayat Shah yang dikenali sebagai Awang ( jika dilihat nama samaran dalam versi pertama, ada persamaan iaitu Sheikh Mohd Said bin Sheikh Ali. Berkemungkinan perkataan Syeikh ditambah kerana Almarhum Awang Daik juga merupakan ahli besar sufi tariqat Naqsyabandiyyah-merujuk hasil kajian En. Aqil bin Abu Kassim. Perlu saya tekankan disini bahawa Keluarga Yamtuan Muda Riau pada masa itu merupakan pelindung dan payung Tariqat Naqsyabandiyyah, sehingga salah seorang dari Yamtuan Muda Riau telah mencapai tahap Khalifah Tariqat dan berpangkat Auliya' besar iaitu Paduka Sri Raja Haji 'Abdu'llah ibni al-Marhum Sultan Ja'afar 'Ala ud-din Shah, Yamtuan Muda ke 9 (1857-1858) yang telah menggantikan Paduka Sri Raja 'Ali "Alaud-din).


2. Y.M. Raja Awang Sulaiman ibni al-Marhum Sultan 'Ali 'Ala ud-din Ri'ayat Shah (rujukan: Laman Web The Vice Regal Of The Bugis Dynasthy).

Setelah meneliti dua versi ini, dipercayai versi kedua agak terhampir memandangkan beberapa perkara :


1. Beliau telah menjadi anak angkat kepada Sultan Mahmud IV Muzaffar Syah(rujuk versi pertama).Persoalan yang timbul; apakah kelebihan keluarga immigran Cina Kwantung yang berhijrah ke Daik sehingga menjadi anak angkat Baginda Sultan? Perlu difahami,bahawa golongan immigran cina yang berselerak di Nusantara pada waktu itu, merupakan golongan kelas pertengahan dan bawahan sebagai peniaga,pelombong,peladang,pelaut,buruh kasar dan tidak kurang juga sebagai pengawal upahan. Adalah menjadi satu perkara yang janggal apabila Sultan yang merupakan Kepala Jajahan Takluk Riau-Lingga mengambil beliau sebagai anak angkat baginda. Jikalau ada golongan immigran Cina yang rapat dengan pemerintahan monarki melayu pada waktu itu, ia hanyalah golongan hartawan perniagaan dan perlombongan,kepala kapitan cina dan kongsi gelap serta pegawai suruhan penjajah Belanda. Tetapi, tidak ada sebarang bukti dan penjelasan pasti, berkaitan ayah Awang Daik sebagai orang kanan diraja atau pendatang cina yang terkenal.

2. Sekiranya kita menerima bahawa Almarhum Awang Daik adalah anakanda Yamtuan Muda Raja 'Ali II, keakraban yang berlaku diantara Sultan Mahmud IV Muzaffar Syah dan Beliau tidak perlu diragui, memandangkan Sultan Mahmud IV adalah Sultan Riau-Lingga pada zaman Yamtuan Muda Raja 'Ali II (Malah, selepas Yamtuan Muda Raja 'Ali dilantik belanda pada 26 Jun 1844, Baginda telah dimasyhurkan oleh Sultan Mahmud IV Muzafar Syah sendiri sebagai Yamtuan Muda pada 20 Julai 1845). Sudah menjadi adat kebiasaan Raja-raja Melayu dahulu kala untuk mengambil anak angkat dari golongan diraja dan bangsawan. Untuk kes Kerajaan Liau Lingga, perlu difahami bahawa keakraban ini memang jelas kerana kebanyakan keturunan Yamtuan Muda memang banyak berkahwin dengan kerabat diraja Johor-Riau-Lingga. Sudah tentu untuk kes Almarhum Awang Daik, beliau sangat rapat dengan kerabat diraja sejak zaman Sultan Mahmud IV Muzaffar Syah sehinggalah kepada zaman kegemilangan Johor dibawah tampuk pemerintahan Sultan Sir Maharaja Abu Bakar dan anakandanya YTM Paduka Sri sultan Sir Ibrahim Johor Al Masyhur. Setiap pengawasan,keprihatinan,penjagaan,penganugerahan pangkat serta jawatan yang tinggi didalam kerajaan Johor membuktikan beliau bukan seorang anak immigran Cina atau Orang Biasa, Sebaliknya beliau sudah tentu mempunyai darah kekerabatan Diraja Johor-Riau-Lingga.

3. Terdapat penekanan dari Keturunan awang Daik (Rujukan: Khatijah binti abu Bakar bin awang Daik dan En. Aqil bin Abu Kassim) bahawa Almarhum awang Daik berketurunan darah diraja, dan mereka tidak bersetuju dengan versi yang pertama. Ini dikukuhkan dengan tahun kelahiran Almarhum Awang Daik iaitu pada tahun 1839,sewaktu Baginda Yamtuan Muda Raja 'Ali II masih hidup. Kita juga boleh merujuk perkahwinan antara Almarhum Awang Daik dengan Daeng aminah Daeng Dolok yang mana Daeng Aminah ini adalah anak angkat baginda Sultan Mahmud IV. Perkahwinan ini menjadi bukti keakraban anak beranak jurai kerabat diraja, apalagi Sultan Mahmud IV Muzaffar Syah telah berada di Singapura sejak 1857 hingga 1861, sudah tentu berlaku pesan memesan antara kerabat, terutama kepada kerabat sultan Ali bin Sultan Hussein (kerana sultan Mahmud IV telah berkahwin dengan Tengku Ampuan Tengku Maimunah,yang merupakan cucu Sultan Hussein) untuk menjaga kebajikan Awang Daik sebagai anak-anak raja selepas beliau berhijrah ke Singapura pada tahun 1882.

Pada tahun 1882, beliau telah berpindah ke Kampung Gelam(Kampung Gelam adalah kawasan kerabat diraja Sultan Ali bin Sultan Hussein) dari Daik kerana tidak menyukai pemerintahan penjajah Belanda. Pada Tahun 1884, Awang Daik telah bekerja sebagai Kerani Pejabat Kerajaan Johor. Pada tahun 1888, beliau telah menjadi inspektor polis di Muar(Dipercayai pada masa ini beliau akrab dengan Pak Long Md Yassin). Pada Tahun 1906, beliau telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Endau. Seterusnya, pada tahun 1915 menjadi pesuruhjaya dan Hakim daerah Mersing sehinggalah bersara pada tahun 1920. Pada tahun 1933, Awang Daik telah meninggalkan dunia dan disemadikan di perkuburan At Tahiriyyah Mersing. satu kisah menarik yang berlaku selepas pemergian Almarhum dimana Sultan Sir Ibrahim Johor ketika itu Murka kepada Muhammad bin Mejar Aqil sehingga menurunkan jawatan beliau dari Mejar kerana tidak memaklumkan kematian AlMarhum Awang Daik. Sememangnya hubungan akrab antara Baginda Sultan Sir Ibrahim dan Almarhum Awang Daik tidak perlu disebutkan lagi, bahkan Baginda sendiri berkenan untuk mempelajari permainan buah pukul ini dari Awang Daik,sehingga diceritakan baginda bermain di atas meja dek kerana Daulat baginda.

13 comments:

  1. salam. saya mohd zawawi bin zakaria bin yusof bin amat bin awang daik. tengah mencari susur galur keluarga. di harap kita dapat ketemu. keluarga kami ada di pekan pahang. dan datuk saya yusof dan moyang saya amat di kebumikan di perkuburan kg marhum. pekan. serta ramai lagi keturunan awang daik di kebumikan di situ.

    ReplyDelete
  2. Awang Daik merupakan moyang saudara saya di mana moyang saya merupakan adik kepada Awang Daik. Gambar beliau masih ada dlm simpanan keluarga saya.

    ReplyDelete
  3. akm. keturunan awang daik; ramai di Pulau Tambun? tq.

    ReplyDelete
  4. Ass. semua saudara seumat Nabi Muhamad, sesunggohnye kitelah insan yang selalu leka.
    jauh sekali terkeliru tuan hamba semua dalam menjabarkan asal usul. AWANG DAEK nama batang tumbohnya ialah TENGKU ABU BAKAR ibni TENGKU OSMAN EMBONG ibni SULTAN MUHAMAD SHAH ibni SULTAN ABDURRAHMAN ibni SULTAN MACHMUD RIAYAT SYAH Sultan akan JOHOR RIAU DAN PAHANG yang bermastautin di LINGGA .
    ia merupakan anak saudara dari Sultan Machmud Muzzafar syah , karena TENGKU OSMAN EMBONG yang juga BERGELAR PANGLIMA RETEH dan TENGKU SULUNG merupakan adik Sultan. Wallahuaklam..

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum ,saya tak pasti saya bernasabkan almarhum awang Daik tapi saya jumpa hikayat orang2 tua keluarga saya di Bukit Sekilau yg bercerita perihal nenek moyang kami 8 bersaudara lari dari Daik ke Pahang,khabarnya ada kaitan dgn kerabat Lingga lalu sampai sekarang diangkat rapat oleh istana Pahang. kisahnya mereka melarikan diri untuk menyelamatkan adik perempuan mereka yg akan diambil raja. mereka naik kapal malam2 lalu berlayar sambil mengajar agama di Kelantan, Terengganu dan Hulu Pahang sebelum menetap di Pekan khususnya di Kg Padang Polo, Mengkasar, Serandu, Tg Selangor dan lain2 area, generasi kontemporari sudah ramai berhijrah ke Kuantan atau Lembah Kekang.. saya dimaklumkan ada saudara yg digelar Abang Jo (Johari) memegang salasilah keluarga di Kuantan tapi tak pernah lagi bersua.. siapa-siapa boleh bantu

    ReplyDelete
  6. saya cicit almarhum awang daik. arwah nenek dan datuk saya , adalah anak kpd almarhum.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamualaikum ... saya juga cicit kepada almarhum awang daik ... nenek saya ... arwah Puan Sri Azizah bt Awang, isteri kepada arwah Tan Sri Ahmad bin Hj Husin ... saya anak sulong kepada Dato' Zahani bin Tan Sri Ahmad ... Nama saya Norliza ... panggil aje Kak Iza (umur = 53 tahun)

      Delete
  7. Assalamualaikum ... saya cicit Almarhum Awang Daik. Arwah nenek saya, Puan Sri Azizah bt Awang, isteri kepada arwah Tan Sri Ahmad bin Hj Husin. Ibu nenek saya bernama Haliyah ...

    ReplyDelete