SILAT LIAN BUAH PUKUL GAYANG LIMA BANI JAWI
Jangan suka terkinja kinja...Apa lagi dijual dijaja...Jangan dikeji usah dipuja...Sikit cakap banyakkan kerja...

Berburu ke padang datar...Dapat rusa belang kaki...Berguru kepalang ajar...Ibarat bunga kembang tak jadi

Kalau Tuan pergi ke Tanjung...Carikan saya ketam ragi...Hidup kita jangan sombong...Suatu hari di telan bumi

Sunday, December 30, 2012

Latihan Pukul Lapis Pukul (TM)

Akademi Buah Pukul Gayang Lima mempelopori (trademark) gaya latihan pukul lapis pukul dalam rumah (setempat) ini sebagai cara untuk memantapkan pergerakkan para pelatih. Dalam belebat atau bergelut gelut ini, para pelatih akan melakukan rutin pukul lapis pukul secara tertib dan perlahan dahulu. Ada lapan jenis cara lapis pukul yang akan diajar. Setelah pelatih berjaya menyesuaikan diri dengan semua cara lapis pukul ini, belebat akan dipraktikkan secara kombo atau bercampur mengikut gaya dan gerak pukul yang diaplikasikan. Secara beransur juga pergerakkan akan dilajukan secara tertib.

Sasaran pukul pula merangkumi kawasan anggota sebelah atas dan tengah termasuk persenyawa. Latihan ini lebih menjuruskan kepada permainan tangan sahaja. Namun hawa gerak dan gayang anggota badan juga memainkan peranan sebagai pelampas rasa dan gaya. Mata pula kena sentiasa awas memerhatikan pergerakkan lawan.

Saya ada mengatakan kepada Cikgu Nazri (pesilat sebelah kiri) yang memuatnaikkan video, bahawa gaya ini merupakan salah satu rahsia akademi G5 susurgalur Pak Atan namun memandangkan perkembangan teknologi IT dan minat terhadap buah pukul ini, kita berlapang dada memaparkannya. Saya juga ada masukkan teknik ini dalam video yang kami jual seketika dulu dan ada juga perguruan silat yang mengaplikasikannya dalam paparan video mereka, Alhamdulillah.

Bagi yang berminat hendak belajar G5, ayuh, mulakan tahun baru 2013 dengan azam untuk menuntut sampai pandai sebagai ilmu jatidiri yang bermunafaat bagi kita di dunia dan juga di sana nanti. Wallahu a'lam.

Sila Klik untuk tonton video dalam facebook


Sunday, December 9, 2012

Gayang Lima itu Buah Pukul Mersing

Nama buah pukul Mersing amat sinonim dengan pengamal pengamal buah pukul di Mersing, Johor. Ianya tidak dinamakan buah pukul Yunnan kerana di Tanah Melayu ni, di Mersing lah tempat mula mula permainan ini bertapak. Seterusnya ia berkembang di kawasan Pantai Timur Semenanjung dan Pahang dan diberi pelbagai nama antaranya, Buah Timur, Lian Yunnan, Lian Kwantung, Gerak Lian, Lian Paduka, Gerak Singkir, Lian Padukan, Gayang Lian dll.

Nama Gayang Lima telah dipilih oleh Almarhum Pak Sani Samah, salah seorang guru kepada Almarhum Pak Atan Airbatu setelah disaran oleh Pak Atan sendiri pada tahun 1978. Nama ini digunakan kerana menurut Pak Sani, apabila permainan ini dibawa keluar dari bumi Mersing, tak perlu lah nama Buah Pukul Mersing digunakan. Saranan ini juga dipersetujui oleh beberapa guru guru tua di sana.

Namun apabila kita bercerita tentang Gayang Lima ini, tidak dapat tidak kita akan bercerita bahawa lian buah pukul ini berasal dari Yunnan, China dan dibawa oleh seorang pedagang berbangsa Arab ke Tanah Melayu tercinta ini.

Bagi orang orang Mersing yang merantau ke luar daerah tersebut, jika mereka hendak menggunakan nama ini sebagai nama perguruan mereka, itu terpulang kepada mereka. Bagi yang menggunakan nama lain sebagai nama perguruan kepada Buah Pukul Mersing ini, ia memudahkan dari segi pentadbiran dan pendaftaran. Maklum sajalah jika kita hendak berdaftar menggunakan nama Buah Pukul, bahagian pendaftaran akan 'reject' sebab ganas bunyinya.

Bila kita tengok ada terlalu banyak nama nama perguruan silat dan buah pukul di Tanah Melayu ini, kita harus raikan dengan gembira kerana percambahan ini menunjukkan bahawa silat Melayu diminati dan terus berkembang. Faktor penyatuan dan semangat bagi segala semua perguruan ini ialah Tauhid dan Syahadah. Kepada Allah berserah.

Animasi - Teknik Gayang Lima - 8

Lanjutan dari Tenik G5 ke 7 baru baru ini lihat satu lagi teknik susun pukul oleh Cikgu Doc Fairuz untuk tatapan dan kajian pembaca. Selamat mencuba.

Teknik diatas secara video boleh di tonton
di Youtube (klik sini)

Monday, December 3, 2012

Lian - Suatu Kesempurnaan

Lian itu Pukul, Pukul itu Lian, Lian itulah guru kamu. Kata kata ini selalu disebut oleh Almarhum Ayahanda Pak Atan. Dalam Persatuan Seni Silat Gayang Lima (PSSGL), beliau memberi huraian PSSGL sebagai Pergerakkan Suci Seluruh Gerak Langkah atau Pergerakkan Sempurna Seluruh Gerak Langkah. Lian juga bermaksud latihan yang berterusan, menurut nurut atau kesinambungan.   

Bila kita mengamalkan Lian, ia adalah satu kaedah atau amalan yang menuju kepada sesuatu yang lebih baik dalam membina kemahiran dan jati diri kita sendiri tanpa ada penamatnya. Sebab itu kita juga selalu lihat bahawa pengamal pengamal Lian boleh mengolahkan permainan mereka mengikut kesesuaian fizikal, mental dan naluri. Mereka juga mampu menggunakan pelbagai jenis senjata seperti tekpi, keris, kerambit, belati, selengan dll yang diasimilasikan dengan pergerakkan Lian tangan kosong yang diamalkan. Istilah permainan atau beladiri luar yang dipadukan dengan Lian tidak timbul kerana Lian itu sendiri satu kesempurnaan. 

Menurut kata Kiyai Embah Seran iaitu seorang sahabat kepada Kiyai Panglima Salleh iaitu, "Alah ilmu dengan petua, alah petua dengan nafas, alah nafas dengan haq, bercantum semuanya dalam Lian. Lian yang dimaksud semua bersatu dengan gerak dengan izin Allah Ta'ala." (petikan dari majalah Seni Beladiri edisi Mei 2007).

Animasi - Teknik Gayang Lima - 7

Dalam Gayang Lima, pelajar yang khatam permainan Lian pada peringkat yang tinggi akan diajar petua dalam bermain buah pukul. Istilah permainan buah pukul ini adalah menyusun pukul dan lapis pukul dengan berterusan antara dua orang atau lebih. Susun pukul yang terdapat dibawah ini dikoreografi oleh Cikgu Doc Fairuz.

Dalam Lian, pukulan boleh datang dalam berbagai bagai cara dan arah. Kaedah susunan pukul ini mengambil  kira kepelbagaian dalam kedudukan dan buah pukul para pengamal. Sudah tentu semua ini ada dalam Lian juga. Selamat mencuba.



Video susu pukul diatas boleh ditonton
diYoutube (klik)